Pages

Ads 468x60px

Monday, 26 March 2012

AMANAT GURU KAUNSELING - "BAGAIMANA MENGHORMATI PEMIMPIN MURID"

Bismillahirrahmanirrahim...



Assalamualaikum w.t.b dan Salam Sejahtera...

Hari ini merupakan hari ke-47 iaitu minggu ke-11 sesi persekolahan 2012... Jadi, amanat kaunseling hari ini adalah berkaitan dengan “Bagaimana Menghormati Pemimpin Murid”.

Pemimpin murid di sekolah yang dimaksudkan di sini adalah merangkumi pengawas sekolah, ketua dan penolong tingkatan, pengawas pusat sumber sekolah, pembimbing rakan sebaya, ahli-ahli skim lencana anti dadah dan skuad bersih. Mereka ini telah diberi kepercayaan oleh pihak sekolah dalam membantu melaksanakan tugas-tugas di sekolah. Jadi, pemimpin-pemimpin murid ini haruslah memberikan  contoh yang baik kepada murid-murid lain.

Berikut merupakan beberapa perkara yang harus murid-murid lakukan dalam menghormati Pemimpin Murid di sekolah.
(1.)    Menghormati hak atau tanggungjawab pemimpin murid sekiranya murid-murid di tegur dengan cara yang baik. Sebagai contohnya, murid-murid ditegur oleh pengawas kerana datang lewat ke sekolah. Murid-murid harus menerima teguran tersebut dan cuba untuk datang lebih awal lagi ke sekolah. Iaitu tidak lagi mengulangi kesalahan yang sama.

(2.)    Turut membantu atau memberikan kerjasama kepada semua pemimpin murid yang telah dilantik dalam segala perkara. Misalnya nasihat-menasihati berkaitan perkara yang baik atau positif. Jauhi sikap-sikap negatif seperti perbuatan merosakkan harta benda sekolah, sebaliknya sama-sama menjaga harta benda sekolah. Elakkan  perbuatan membuli dan bergaduh serta tidak menghormati guru-guru dan kawan-kawan sekolah.

Saya juga ingin menasihatkan semua murid SMKDH agar mengutamakan pelajaran di sekolah. Hanya dengan memiliki pengetahuan dan kelulusan yang tinggi sahaja dapat menjamin kehidupan kita pada masa hadapan. Sesungguhnya ‘pengetahuan itu kuasa’ (knowledge is power). Ianya sungguh penting dalam kehidupan. Pengetahuan dapat mengubah taraf hidup sesebuah keluarga, pengetahuan dapat memenuhi apa yang kita cita-citakan, pengetahuan dapat membezakan yang baik dengan buruk. Untuk memperolehi pengetahuan, murid-murid harus belajar bersungguh-sungguh, berdisiplin ketika belajar kerana disiplin asas kejayaan, sentiasa berusaha tanpa mengenal putus 

Oleh itu, murid-murid harus ingat bahawa jika murid-murid tidak menghormati pemimpin murid iaitu dengan berkelakuan kasar atau pun melawan, murid-murid akan dikategorikan sebagai melakukan kesalahan kurang sopan dan dianggap biadad. Jadi, tindakan disiplin akan diambil atas kesalahan yang telah murid-murid lakukan itu.

Jangan Hanya Mahu Dihormati Oleh Semua, Tapi hormatilah Semua, Walau Siapapun Dia!.


Tuesday, 6 March 2012

PELAKSANAAN GURU PENYAYANG




PENGENALAN

Guru yang penyabar dan penyayang akan berjaya dalam kerjayanya. Apabila nilai itu tersemat kukuh, guru pasti akan menyedari bahawa sabar itu memberkati usaha gigihnya mendidik. Selain itu, guru juga perlu bersedia menerima kepelbagaian watak dan perbezaan tahap kecerdasan anak didik supaya proses pengajaran akan dapat dilaksanakan dengan fikiran tenang.

RASIONAL
  • Permasalahan murid-murid pada masa ini perlukan medium yang sesuai bagi membantu murid tersebut dan menggunakan kaedah dan pendekatan yang terkini serta disukai oleh murid tersebut.
  • Generasi murid hari ini terdiri daripada generasi Y dan Z yang unik, di mana mereka mempunyai pemikiran yang liberal dan terbuka.
  • Mengurangkan jurang beza antara guru dan murid.


OBJEKTIF
  • Membentuk karektor serta sahsiah yang disenangi oleh warga sekolah.
  • Mewujudkan satu suasana yang harmoni antara guru dan murid selaras dengan keperluan semasa.
  • Menimbulkan rasa dihargai dan diterima dalam kalangan murid.

JUSTIFIKASI
  • Terdapatnya peningkatan salah laku disiplin dalam kalangan murid.
  • Peningkatan kadar ponteng murid.
  • Terdapat laporan/aduan pelanggaran etika profession perguruan.
  • Peningkatan bilangan guru yang mengalami tekanan emosi dalam menjalankana tugas.

PENGISIAN/AKTIVITI
  • Mengalu-alukan kehadiran murid
  • Pelaksanaan Program Mentor-Mentee
  • Memberi penghargaan kepada murid berdasarkan:
          - kehadiran terawal ke sekolah
          - pencapaian dalam ujian bulanan / peperiksaan
          - pencapaian dalam bidang kokurikulum
          - pemerhatian atas sahsiah terpuji murid

Monday, 5 March 2012

AMANAT GURU KAUNSELING - BAGAIMANA UNTUK KEKALKAN SEMANGAT BELAJAR




PEPERIKSAAN atau Ujian Bulanan akan muncul tidak lama lagi dan kemudiannya diakhiri dengan Peperiksaan Awam. Mungkin ada di antara murid yang rasa bosan serta tidak bertenaga lagi untuk menghadapi semua ini. Bagaimanapun mahu tidak mahu proses ini harus dilalui. Oleh itu adalah amat penting bagi seseorang murid dapat mengekalkan semangat untuk terus belajar. Dengan berbekalkan semangat segala cabaran akan dapat ditangani dengan mudah.

Berikut disenaraikan beberapa langkah yang boleh dilakukan oleh murid-murid untuk mengekalkan semangat untuk belajar.

(1.)    Tindakan segera ketika menghadapi kesukaran. Sewaktu mengulang kaji atau mendengar penerangan guru terdapat juga perkara-perkara yang tidak difahami. Lama kelamaan perkara-perkara yang tidak difahami ini akan menyukarkan murid untuk meneruskan mengulang kaji pelajaran dan akhirnya murid akan merasa bosan serta hilang semangat untuk belajar. Dalam hal ini murid perlu bertindak segera mengatasinya. Murid perlu menghubungi guru, rakan atau merujuk bahan bacaan sehingga perkara yang tidak difahami itu dapat diatasi.Tumpukan perhatian ketika guru mengajar. Jika kurang faham bolehlah bertanya kepada guru anda dengan sopan. Jika ingin bertanya, minta izin terlebih dahulu.

(2.)    Mengulang kaji setiap hari: Proses mengulang kaji perlu dilakukan setiap hari mengikut jadual yang dirancang. Ada sesetengah murid hanya mengulang kaji pada hari-hari tertentu sahaja. Keadaan begini akan menghilangkan suasana peperiksaan serta semangat untuk belajar.

(3.)    Jangan ponteng kelas. Perbuatan ponteng kelas akan menyebabkan murid ketinggalan topik yang diajar. Tanpa penerangan guru adalah agak sukar bagi murid memahaminya. Jika masalah ini berlarutan murid akan hilang semangat untuk belajar. Jangan berkata-kata atau berbual dengan rakan-rakan ketika guru sedang mengajar.

(4.)    Tumpuan pada pelajaran. Di peringkat ini murid diminta memberi sepenuh perhatian pada pelajaran. Hiburan yang berlebihan haruslah ditinggalkan. Biarlah minda kita hanya memikirkan tentang pelajaran tanpa dicampur aduk dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

(5.)  Bertaqwa sepanjang masa: Beribadah mampu menimbulkan kesedaran, kesyukuran serta mendekati diri kita kepada Allah. Segala nikmat dan kejayaan akan diberikan oleh Allah sekiranya seseorang itu berusaha bersungguh-sungguh serta ikhlas melakukan segala tindakan tanpa dipaksa. Menyedari hakikat ini semangat untuk belajar akan terus bersemarak di jiwa kita yang akhirnya membawa kejayaan.

Oleh itu murid harus bertindak sekarang kerana masa berjalan dengan pantas. Kita tidak harus berdolak dalih memberi alasan tetapi teruslah mencari jalan untuk belajar bersungguh-sungguh demi mencapai kejayaan.